Sunday, September 13, 2015

Waktu ni 4 tahun lalu...

Waktu tengah malam ini empat tahun yang lalu (13 September 2011) seorang bakal abah sedang mundar-mandir di luar wad bersalin HTJ. Mati akal tak tahu apa yang bakal berlaku kepada isteri dan anak yang dikandungnya yang baru berusia 7 bulan.
Pada awal pagi 12 September 2011, dia dikejutkan dengan pemberitahuan oleh isterinya bahawa berlaku pendarahan di 'bawah sana' seperti yang lazim berlaku beberapa kali sebelum ini.
Dia pada awal pagi 12 September 2011 sepatutnya telah bertolak dengan kereta Wira legendnya ke Cherating bagi menghadiri satu mesyuarat. Beg dah siap masuk kereta dah pun. Beg dikeluarkan semula. Katil di dalam bilik bawah tepi dapur tu diheret ke ruang tamu kerana instinct bakal abah tahu sesuatu yang besar bakal berlaku tak lama lagi.
Dia pada petang 12 September 2011 tu telah membawa isterinya ke Klinik Bersalin Rekha, Seremban. Bila diimbas imej bayi dalam kandungan, doktor berkata wajahnya 'sejibik' macam abahnya. Salah satu tapak tangan bayi di bawah dagu, persis orang sedang memikirkan sesuatu. Doktor berpesan kalau pagi esok tak berhenti pendarahan cepat-cepat pergi hospital.
Dan Isyak malam itu seorang bakal nenek tiba ke rumah mereka, dibawa oleh seorang bakal pakcik. Bakal nenek sangat susah hati kerana telahan bunga siti fatimah yang direndamnya telah kembang, menyatakan bahawa anak perempuannya bakal bersalin tak lama lagi.
Dalam nak ikut tak ikut kata bakal nenek yang susah hati, pergilah mereka semua ke Hospital KPJ malam tu. Doktor di wad kecemasan check lebih kurang, terus menasihatkan pergilah ke hospital besar. Kalau apa-apa berlaku kami pun akan pindahkan puan ke sana juga. Nak naik ambulan atau pergi sendiri? Kalau hantar dengan ambulan RM300.   
Maka bakal abah yang merupakan driver OKU tu menekan pedal minyak serapat yang mungkin malam tu. Bila sampai di depan wad bersalin, setelah beberapa ketika diperiksa oleh doktor, bakal umi kemudian menyatakan kepada bakal abah. Nak balik ke tak? Katanya tak ada apa2. Tapi doktor kata boleh bermalam untuk pemantauan kerana dah tengah malam. Besok pagilah balik.
Bakal abah dan bakal nenek pun baliklah ke Taman Bukit Galena. Dalam hati bakal abah sedikit gembira kerana doktor kata tak ada apa2, pagi besok atau tengah hari discaj la tu.
Jam 8.00 pagi 13 September 2011, bakal abah menghantar satu beg mengandungi pakaian untuk bakal umi pakai semasa discaj tengah hari nanti. Menurut kata sekuriti, letak beg sahaja lepas tu keluar, bakal abah tak syak apa2 pun yang berlaku bila melihat katil bakal umi kosong. Pergi bilik air la tu.
Bakal abah kemudian pergilah bersarapan pagi. Tiba-tiba bakal abah dah menjadi abah lebih awal rupanya apabila umi menelefon memberitahu dia telah pun bersalin jam 7.05 pagi tadi.
Selamat harijadi Abdul Hanan. Semoga sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah. Moga menjadi insan yang berguna.

Abdul Hanan dan abah bergambar kenangan di hadapan bendera Malaysia yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Rumah kami menang tempat ketiga Pertandingan Mengibar Jalur Gemilang peringkat KRT Taman Bukit Galena Fasa 4 Tahun 2015. Nak tengok datanglah rumah. 16 September ni last day, lepas tu semua bendera akan disimpan.