Wednesday, October 26, 2011

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Ketiga


Sebelum terlupa, pada hari ini 26 Oktober 2011 ini genaplah 3 tahun perkahwinan kami. Sorry la gambar kami bertiga iaitu sekali dengan Abdul Hanan belum sempat shoot lagi. Insya Allah nanti kami nak snap gambar besar2 nak gantung dalam rumah kami untuk ganti gambar kat ruang tamu tu.

Umi dan Abdul Hanan di SCN


Malam ni saja2 aku bukak e-mel nak check kalau2 ada gambar2 dan bahan2 nak dibuat Buletin Za'ba yang katanya nak di e-mel oleh seseorang sebelum cuti sekolah dahulu. Nampaknya tak ada, kalau ada pun tak sempat nak sementelah lagi sibuk berulang-alik ke hospital.

Alhamdulillah, dah dua malam Abdul Hanan ditemani uminya setelah berpindah ke wad scn tingkat 6 di hospital tuanku jaafar. Sekarang dia dah seberat (jisim, berat unit Newton kan?) 1720 gram bila ditimbang beberapa hari yang lalu. Jantungnya masih berdegup pantas kerana keadaan medikal yang dipanggil Large PDA In Failure, senang cerita jantung berlubang kerana kelahiran pramatang menyebabkan dua salur darah yang membawa darah beroksigen dan tak beroksigen masing2 bercampur menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan.

Baby Hanan sedang berusaha dengan gigih untuk menyusu badan uminya, makin lama makin kuat tapi dia masih memerlukan sedikit masa lagi. Yelah, apalah kederat yang ada baginya yang masih di bawah 2 kilo. Namun begitu dia tak ada masalah yang lain kerana boleh menyusu (ikut tiub dan sudu), kencing dan berak seperti bayi yang lain.

Setelah 6 minggu kelahiran, hari Isnin (kelmarin) merupakan kali pertama aku menimang Hanan. Hari ni pulak kali pertama neneknya (Nenek Ita) mencium Hanan dari celah2 grill wad hospital kerana seperti NICU hanya ibu dan bapa yang boleh masuk ke wad. Mungkin ada yang membantah peraturan ni tapi kalau dah ramai2 pakcik dan makcik masuk ke dalam keadaan baby yang dah sedia riuh rendah dengan tangisan akan meriah pula dengan pakcik, makcik, atuk, nenek. sepupu dan sepapat yang sibuk nak bergambar. Tak yah pergi jauh malam tadi budak2 kecik yang datang ke wad sibuk tekan2 butang2 lif kat depan wad.

Minggu lepas pada 20 oktober Hanan dah naik ambulan dengan ditemani umi, doktor dan nurse ke hospital serdang. Abah Hanan (aku la tu) bawa keta punya la laju dalam hujan tu dan tiba lebih awal, masa mana potong ambulan pun aku tak perasan.

Hmmm, kata doktor pakar yang mendiagnos Hanan, "Kita tengok lagi dalam masa sebulan, kalau imbasan berikut lubang pada jantung tak tertutup terpaksalah pembedahan dilakukan untuk menutup salur darah yang terbuka. Memang risikonya ada tetapi kalau tak ambil tindakan secepat mungkin lubang mungkin akan menjadi lebih besar dan keadaan menjadi lebih parah."

Dulu arwah abah pernah bergegas balik kursus di johor untuk pulang ke alor setar kerana arwah datuk mengalami pendarahan di usus. Dia terpaksa bergegas balik kerana arwah nenek dan emak2 saudara enggan sign kebenaran untuk pembedahan dilakukan. Kali ini mungkin tiba giliran aku dan mawar untuk sign kebenaran tersebut.

Kepada saudara-mara dan kawan2, kami mohon doakan kesejahteraan dan kesihatan anak kami. Hanya Alllah sahaja yang dapat membalas.

Friday, October 7, 2011

Doakan Kesihatan Abdul Hanan

Pagi ini aku mengambil kesempatan untuk mengupdate blog yang agak terbiar beberapa minggu kebelakang. Pada hari Selasa jam 7.03 pagi 15 Syawal / 13 September yang lalu kami telah menimang cahaya mata yang pertama yang dinamakan Abdul Hanan. Dengan berat 1040 gram dia lahir awal iaitu hanya 7 bulan lebih sedikit dikandung oleh Mawar.

Aku sepatutnya memulakan perjalanan untuk menghadiri satu mesyuarat di cherating pada pagi isnin 12 September namun aku tangguhkan kerana Mawar mengadu ada contraction dan pendarahan pada pagi tersebut. Setelah melakukan imbasan di Klinik Rekha, dr memberi mc dan menasihatkan ke hospital kerajaan sekiranya rasa sakit dan pendarahan berterusan ke pagi selasa.

Sewaktu tiba di rumah tidak beberapa lama emak Mawar menelefon dan kami menceritakan apa yang telah berlaku. Malam tersebut mak sampai dan menunjukkan bunga akar siti fatimah yang direndamnya di dalam air telah kembang menandakan Mawar hampir bersalin. Kalau ikut amalan perubatan barat masih lambat lagi kerana kalau mengandung 9 bulan, bulan 11 nanti baru bersalin ini baru 7 bulan.

Bimbang sekiranya apa2 berlaku, kami pun ke hospital kpj seremban. Setelah diperiksa beberapa ketika dr mencadangkan kami terus ke hospital tuanku jaafar. Sampai di sana kami terus ke wad bersalin di tingkat satu. Walaupun "tingkap" masih belum terbuka, kerana hari sudah dinihari dr mengadmitkan Mawar ke wad sambil menyakinkan bahawa besok boleh balik kerana lambat lagi katanya nak bersalin.

Aku dan mak dengan konfidennya balik malam tu. Aku siap dah kemas2 baju yang Mawar nak pakai esok balik rumah ke dalam beg. Pagi tu semasa sampai di wad, aku meletakkan beg pakaian di kabinet tepi katil Mawar. Masa tu Mawar tak ada di katil aku ingat dia pi mandi.

Aku pun drive pi seremban 2 dulu breakfast di kedai makan sebelah kedai tayar kawanku. Semasa aku drive balik ke hospital tiba2 Mawar telefon. Dah bersalin katanya.

Sampai di hospital aku terus ke tingkat 6 di mana Abdul Hanan ditempatkan di NICU. Yang boleh melawat hanya abah dan umi. Nenek, datuk, pak menakan, mak menakan semua tak boleh masuk. Boleh mengintai ikut tingkap saja. Nak masuk kena basuh tangan dengan sabun dulu bersih2 baru boleh pegang baby.

Dalam bilik Hanan ada 6 katil. Hanan diletakkan dalam inkubator. Badan sambung wayar macam2 dan bunyi alarm pun macam2. Briefing pertama oleh dr ialah Hanan dilahirkan dalam keadaan sangat pramatang dan paru2nya tidak kuat. Dia di dalam keadaan yang teruk dan ikthiar diusahakan agar tidak menjadi lebih teruk.

Susu badan yang dipam diberi melalui satu tiub. Bermula dari pemberian 1ml pada hari ketiga kelahiran hingga 17ml pada hari ini (7 oktober) setiap dua jam, hari ini berat Hanan telah mencapai 1350 gram.
Pada hari ini Hanan masih menggunakan bantuan oksigen untuk bernafas dan jantungnya ada sedikit lubang. Dr ada cuba untuk mencabut oksigen untuk menguji kekuatan jantung dan paru2 Hanan tetapi dia masih memerlukan sedikit masa.

Gambar yang aku paparkan di atas ialah gambar Hanan yang dipangku kali pertama oleh Mawar setelah 21 hari kelahirannya. Gambar pun aku curi2 ambil di balik tirai kerana dalam NICU ni tak boleh guna telefon dan kamera.

Di sini aku dan Mawar memohon saudara-mara, rakan2 dan anda yang membaca blog ini supaya sama2 mendoakan supaya Hanan cepat sembuh dan dikurniakan kesejahteraan. Hanya Allah Taala saja yang dapat membalas jasa kalian semua.

Thursday, October 6, 2011

Hukum Menggantung Foto

dipetik dari http://pondokhabib.wordpress.com/2011/05/23/hukum-menggantung-foto/

Menggantung gambar-gambar foto adalah satu kelaziman dalam masyarakat kita. Barang mana tempat kita pergi, baik pejabat, sekolah maupun rumah kediaman, kita akan melihat foto-foto digantung atau diletak di sana sini, baik foto para pemimpin negara atau foto-foto ahli keluarga. Jadi perbuatan menggantungkan gambar-gambar fotografi ini telah diterima oleh masyarakat kita, tanpa menafikan wujudnya perselisihan pendapat mengenainya. Apa yang zahir bahawa kebanyakan umat Islam di negara ini menerima pendapat yang mengharuskan gambar-gambar fotografi yang munasabah dan yang tidak menimbulkan fitnah. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak akan gambar-gambar fotografi nampaknya tidak diikuti oleh masyarakat kita.

Di antara ulama yang memfatwakan keharusan memotret atau merakam gambar-gambar fotografi adalah mantan mufti Mesir, al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Bakhit al-Muthi`ie rahimahUllah dan pandangan beliau ini diutarakannya dalam karyanya berjodol "al-Jawaabul Kaafi fi ibahaatit tashwiiril futughafi." Fatwa beliau juga diikuti oleh ramai ulama terbilang dahulu dan sekarang termasuklah Dr. Yusuf al-Qardhawi hafizahUllah. Sebaliknya, fatwa yang mengharamkannya pula juga didukung oleh sekelompok ulama dari berbagai aliran mazhab, baik dari benua kecil IndoPak maupun dari Timur Tengah. Setiap pihak mempunyai dalil dan hujjah masing-masing.

Oleh itu jika dihukumkan gambar foto itu harus dan bukannya haram, maka menggantungkannya pun diharuskan pada hukum asal. Namun jika ianya digantung untuk dipuja – umpamanya:- gantung pastu letak kalung bunga pastu kasi colok pastu mengadap simayang – pasti tiada kesangsian pada kejinya perbuatan tersebut dan haramnya, bahkan suatu kesyirikan atau yang menjurus kepada syirik. Namun kalau semata-mata menggantung, bukan dengan niat memuja atau memuliakannya, sebab yang menggantungnya itu orang Islam yang beriman, yang tidak sewajarnya kita berprasangka buruk kepadanya, kenapa harus ada prasangka jahat dalam benak kita untuk menuduh bahawa saudara kita yang beriman ini memuja gambar???? Jika begitu, apakah harus kita berprasangka bahawa setiap mukmin yang menggantung gambar pemimpin, baik pemimpin negara maupun parti, akan dianggap sebagai memuja-muja mereka melebihi Allah dan rasulNya? Sebenarnya, ia terpulanglah dengan niat dan tujuan masing-masing, jika baik niatnya maka baiklah balasannya dan jika jahat maka jahatlah pula jadinya, dengan mengambilkira keadaan foto tersebut juga.

Shohibus Samahah, Dr. 'Ali Jum`ah hafizahUllah, mufti Mesir ditanyai mengenai hukum bagi seseorang menggantung foto ayah ibunya yang sudah wafat di tempat masuk apartment kediamannya agar sesiapa memasuki kediamannya dan melihat gambar tersebut akan mendoakan kedua mereka. Untuk melihat kepada pertanyaan dan fatwa tersebut silalah layari Darul Ifta` Mishriyyah di mana ianya telah dijawab oleh Shahibus Samahah Mufti dengan:-

Tidak mengapa (yakni HARUS) hukumnya mengedar gambar-gambar fotografi atau menggantungkannya, samada gambar manusia maupun haiwan. Ini adalah kerana gambar fotografi hanyalah suatu upaya penahanan atau perakaman imej (yakni imej sesuatu itu ditangkap atau hanya dirakam dengan sejenis alat seperti kamera umpamanya). Maka tidaklah ada padanya usaha untuk menyaingi penciptaan Allah yang mana warid amaran bagi orang yang membuat lukisan (yakni imej yang ditahan atau dirakam itu tetap imej ciptaan Allah dan bukannya sesuatu yang dibuat oleh seseorang. Maka tidak timbul rekayasa si pelukis untuk mencipta sesuatu seolah-olah hendak menyaingi ciptaan Allah SWT). Ini adalah apabila foto tersebut bukannya foto bogel atau foto yang boleh menimbulkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan "tashwir @ membuat gambar" yang diancam dalam hadits adalah pembuatan patung-patung yang sempurna bentuknya, di mana terdapat padanya upaya untuk seolah-olah menyaingi ciptaan Allah ta`ala. Oleh itu merakam gambar secara fotografi walaupun juga dinamakan sebagai "tashwir" tidaklah haram kerana tidak wujud `illah tersebut padanya dan sesuatu hukum itu bersama dengan illahnya sama ada wujud atau tidak. Merakam gambar fotografi pada hakikatnya hanyalah penahanan @ rakaman imej dan ianya tidaklah dinamakan sebagai "tashwir" melainkan secara majaz sahaja. Ketetapan bagi sesuatu hukum adalah berdasarkan kepada yang dinamakan dan bukannya pada namanya.

Dibina atas yang sedemikian dan sebagaimana yang ditanya, maka sesungguhnya perbuatan menggantung foto ayah dan ibumu tersebut menurut Hukum Syarak adalah HARUS kerana tujuan yang murni tersebut selagi mana foto ibumu itu layak dan sopan (yakni tidak mendedahkan aurat). Tidak menjadi masalah sama ada foto tersebut, foto imej yang sempurna ataupun tidak. Yang sedemikian itu bukanlah sesuatu yang diharamkan, jadi ianya tidaklah sebagaimana dikhabarkan sebahagian orang kepadamu.

Mudah-mudahan kita dapat faedah daripada fatwa Shohibus Samahah Mufti hafizahUllah. Kepada yang merasakan ianya tidak sebagaimana difatwakan, maka mereka berhak dengan pendapat mereka sebagaimana kita juga berhak untuk mengikut pendapat mana yang hendak kita jadikan pegangan kerana persoalan ini hanyalah berkaitan isu furu` fiqhiyyah yang tidak lepas daripada khilaf. Berlapang dadalah wahai saudara-saudara seagama, moga kita semua dirahmatiNya dan dapat beramal sholeh dengan aman tanpa gangguan suara-suara sumbang.

Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah

dipetik dari http://www.ustaznoramin.com/2010/04/hukum-meletakkan-gambar-bernyawa-di.html

Soalan yang diajukan :

Apa hukumnya kita menggantung gambar bernyawa didalam rumah. Contoh gambar kita menerima sijil?

Jawapannya

Menggantungkan gambar yang bernyawa di dalam rumah ialah seperti gambar binatang, gambar orang atau gambar keluarga tuan rumah. Setelah saya meneliti masalah ini bahawa memang haram dan Nabi melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah untuk memberikan rahmat. Hadis Nabi yang bermaksud :

Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah SAW: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Riwayat Muslim)

Berkata Imam Manawi :
Yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini ialah suatu yg mempunyai ruh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yg tidak mempunyai ruh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yg membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah.Adapun malaikat pencatit amal tiadalah berpisah ia dari seseorang anak Adam.

Haram bagi orang yang meletakkan gambar atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut. Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk pohon, kapal, rumah, ayat Al-Quran, Kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.

Hal di atas beza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video. Harus bagi sesiapa yang ingin meletakkan atau menggantungkan gambar fotografik di rumahnya. Jika gambar fotografik tersebut mengandungi unsure-unsur pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut dan seumpamannya, maka hukumnya adalah haram dan bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku
Seni Dalam Islam :

"Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagimana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempuyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq, penyembah berhala, komunis ataupun tokoh-tokoh seni yang menyeleweng.
"

Pandangan saya, gambar manusia atau makhluk bernyawa yang dihasilkan oleh seni lukisan, adalah haram sepertimana yang terdapat di dalam hadis di atas. Di haruskan gambar dari hasil seni lukisan bukan gambar manusia dan makhluk bernyawa seperti gambar pemandangan, masjid, rumah, kereta dan seumpamanya. Harus juga bagi gambar yang dihasilkan oleh kamera atau video untuk digantung atau diletakkan di rumah bukan bertujuan penyembahan, mengagungkan, gambar yang tidak mendedahkan aurat, gambar orang kafir dan seumpamanya. Gambar kamera yang dibolehkan adalah bertujuan sebagai kenangan, tanda kekeluargaan dan seumpamanya.