Monday, August 11, 2014
Selamat Ulang Tahun Ketiga Abdul Hanan
Esok (11 Ogos 2014) merupakan ulang tahun ketiga anak kami kalau ikut kalender Islam 15 Syawal. Pejam celik pejam celik, daripada duduk dalam balang (inkubator) sekarang dah tak sempat nak kejar dia kalau main kat tempat permainan jusco seremban tu. Mulut pun dah banyak cakap cuma masih pakai pampers lagi.
Insya Allah, hujung tahun ni akan menimang seorang lagi cahaya mata. Alhamdulillah, nama pun tak naik untuk jaga SPM hujung tahun ni. Sapa yang jaga tahun ni untung, tiga minggu sebelum cuti SPM dah mula. Jenuh la merelief orang yang keluaq jaga SPM, tak mau relief hang la pi jaga SPM, kui, kui, kui!
Walaupun dah macam terlambat, aku mengambil kesempatan kat sini nak mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan maaf zahir batin. Tahun ni beraya di taman medan, petaling jaya dulu. Malam raya kali ni seperti biasa mengikut rombongan takbir orang2 surau al-hukummiah dari rumah ke rumah. Tahun ni lorong group takbir aku selalu ikut tu pi tiga rumah saja, rumah mak mawar, rumah imam hambali dan rumah yang tiap2 kali hidangkan sup tulang dan roti gardenia tu. Perghhh, sedap tau!
Selesai takbir dari rumah ke rumah, hanan dan abang2 sepupunya bermain bunga api, mercun pop dan mercun das. Main sampai ke tengah malam. Dah abih semua mercun dan bunga api baru mahu berenti budak 4 orang tu. Sini bila pukui 12 tengah malam saja mesti akan ada pesta bunga api berdentum2. Tapi tahun ni rasanya tak banyak seperti raya puasa tahun sebelum2nya, hormatkan tragedi MH17 kot. Kalau nak tau bukan tengah malam raya puasa saja akan ada pesta bunga api, deepavali ada, tahun baru cina pun ada. Krismas saja tak ada rasanya.
Pagi raya aku sebelum subuh lagi dah bangun, mandi sunat hari raya. Dah siap mandi, pakai baju bagai, terus makan nasi minyak. Mak mawar pun tau aku pagi2 raya nak makan nasi sebelum pi semayang raya, lagi pun nak buat bekal makan balik beraya ke pengkalan balak.
Lepas semayang raya, semua bersiap2 nak pergi beraya ke melaka kecuali aku, mawar dan hanan yang pulang ke kedah pulak. Perjalanan balik ke pendang kereta banyak tapi bergerak la dan tak ada kemalangan yang besar sepanjang perjalanan. Menjelang asar dah sampai pendang.
Pada hari raya kedua (selasa) aku mengambil peluang melawat kubur tok, wan dan abah di masjid lahar budi dan rumah-rumah sanak-saudara di alor belat. Tak banyak yang disembangkan dengan orang-orang yang masih hidup selain bertegur sapa manakala yang dah tak ada hanya mampu disedekahkan Al-Fatihah. Tahun ni salah seorang bapa saudara telah mula kembali kepada sifat2 bayi, tidak ingat lagi (kenal) kepada orang2 di sekelilingnya, tenung2 aku lama2 dan dalam2 baru dia ingat. Yang mampu ditanyanya hanyalah, “Hang dah makan ka belum?” Tahun depan belum tentu dapat beraya dengannya lagi.
Hari rabu tengah hari kami bertiga bertolak pulang ke seremban. Dalam perjalanan di lebuh raya dah sesak hingga hanan dah mengamuk penat duduk dalam kereta. Kuota internet pulak dah abih lagi la meragam tak dapat tengok youtube. Budak2 zaman sekarang untung sungguh ada gajet macam2 untuk dilekakan, aku dulu kecik2 main game watch saja. Masa tinggal dengan tuk dan wan di alor belat merasa juga main senapang getah peluru bemban. Budak sekarang jangan kata pokok bemban, kalau ditanya ayam tu apa mungkin hanya tunjuk ayam goreng kfc tu la ayam.
Dengar dalam radio jamn sebelum dan selepas terowong menora (alah, yang kat ipoh tu) maka turun la kat kuala kangsar. Berenti solat di suatu masjid yang tak ingat pulak namanya. Ramai juga yang turun dari lebuh raya ikut jalan biasa dan singgah di masjid ni untuk berehat dan solat, kalau nak berenti di rnr lebuh raya tu, kencing kat pokok bunga la jawabnya. Hanan dimandikan uminya, siap dapat duit raya daripada sekumpulan wanita bertudung labuh dan berpurdah.
Setelah usai solat (cis, bahasa arab la pulak) perjalanan diteruskan kembali. Rupanya jalan lama pun jamn juga tapi free la tak kena tol. Bila sampai di ipoh terus masuk semula lebuh raya. Malam tu singgah tidur di rumah mak di taman medan kerana dah boring seharian di dalam kereta. Pagi jumaat lepas pekena nasi lemak makcik pokok pelam dekat petronas taman medan baru la balik seremban.
> Perginya pak long meli
Pak long meli merupakan bapa saudara mawar yang tinggal di masjid tanah, melaka. Beliau hanya bekerja kampung. Di sekeliling rumahnya macam2 ditanamnya. Ada cili, pokok pisang, keladi, ubi kayu, nangka, rambutan, pendek kata kalau singgah rumah dia penuh but kereta kita dengan buah tangan. Sebelum raya hari tu sibuk renovate rumahnya macam tau2 saja akan pergi menghadap Allah tahun ini. Kisahnya, pada hari raya kelima iaitu hari Jumaat telah dimasukkan ke icu hospital melaka kerana jangkitan kuman di dalam usus beliau. Tak tahu la apa puncanya. Kami ketika sampai di wad icu hospital melaka pada petang jumaat tu pun hanya sempat melawat beliau dalam keadaan koma cuma seketika kerana waktu lawatan hampir tamat. Menurut dr yang merawat beliau tiada apa yang boleh dibuat lagi kerana usus telah pecah, kuman telah merebak ke seluruh sistem badan dan hanya menunggu masa untuk pergi.
Setelah dibawa pulang ke rumahnya dengan ambulans pada pagi hari jumaat 8 ogos, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tengah hari tersebut setelah bantuan alat pernafasan dihentikan. Beruntunglah pak long kerana meninggal pada hari jumaat di bulan yang mulia. Semoga roh beliau akan dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...
> Peringatan kematian
Blog salah seorang rakan saya iaitu besiwaja.blogspot.com kendalian cikgu zakaria yahya banyak memberi peringatan tentang kematian. Kematian memang datang mengejut, tengah bermain pun boleh mati. Ada satu klip video dari internet saya tengok betapa satu prank (gurauan) oleh ahli-ahli keluarga konon nak mengejutkan seorang wanita yang baru balik ke rumah berakhir dengan kematian apabila wanita tersebut yang telah lari keluar dari rumah dalam keadaan panik, mati dilanggar kereta.
Ada juga satu klip video lain pula menunjukkan kegilaan sekumpulan remaja bermain pisau. Dalam cubaan pertama dilontarnya pisau rambo yang tajam ke arah dinding, melekat di dinding nak menunjukkan bapak tajam pisau tu, kemudian cubaan kedua dibalingnya pula ke arah sebiji buah epal yang diletak di atas kepala kawannya. Malang tak berbau, pisau tersebut tersasar ke dahi rakannya dan rakannya mati di situ juga.
Pepatah Melayu ada menyatakan rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari.
> Gajet dan raya
Beberapa hari lepas pada suatu petang sempat beraya ke rumah salah seorang mak saudara aku di senawang. Time2 macam ni la kita nak bertemu dan bertukar2 cerita kerana pada hari2 biasa ni memang payah kalau saja2 kita nak pergi berjalan ke rumah orang. Tengah kita makan2 tu ada la sepasang suami isteri ni gayanya dah lama bertandang kot di rumah mak saudara saya ni kerana anak sulung duk sibuk main tab, dua2 adiknya pula tidur. Sorang tidur di lantai dan sorang tidur dalam buai anak tuan rumah (anak tuan rumah tidur atas toto tepi buai tu, tak apa la tuan rumah beralah dengan tetamu) di ruang tamu.
Dalam duk makan2 tu si suami dah pi makan kat luar rumah, tinggal la isteri dan anak2 kat dalam. Anak yang tidur kat lantai tiba2 bangun, menangis. Terdengar la ucapan si isteri tu, ni lapar susu la ni. Aku kebetulan keluar pulak pergi ambil makanan lagi pasal sedap dan kembali duduk di ruang tamu. Anak yang terbangun tadi masih merengek2 tetapi emaknya dah tak ada, pergi buat susu kot kata hatiku.
Sambil makan dan bersembang dengan mak saudara aku, ternampak pulak rupa2nya emak budak yang menangis tadi ni berada di suatu sudut lain di ruang tamu rumah tersebut sambil sibuk melayan tab. Ceh, ingat pi buat susu rupanya melayan tab. Mak saudara aku pun menceceh, itu la orang sekarang, asyik sibuk dengan menatang tab saja walaupun berjalan raya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment