Sunday, September 13, 2015

Waktu ni 4 tahun lalu...

Waktu tengah malam ini empat tahun yang lalu (13 September 2011) seorang bakal abah sedang mundar-mandir di luar wad bersalin HTJ. Mati akal tak tahu apa yang bakal berlaku kepada isteri dan anak yang dikandungnya yang baru berusia 7 bulan.
Pada awal pagi 12 September 2011, dia dikejutkan dengan pemberitahuan oleh isterinya bahawa berlaku pendarahan di 'bawah sana' seperti yang lazim berlaku beberapa kali sebelum ini.
Dia pada awal pagi 12 September 2011 sepatutnya telah bertolak dengan kereta Wira legendnya ke Cherating bagi menghadiri satu mesyuarat. Beg dah siap masuk kereta dah pun. Beg dikeluarkan semula. Katil di dalam bilik bawah tepi dapur tu diheret ke ruang tamu kerana instinct bakal abah tahu sesuatu yang besar bakal berlaku tak lama lagi.
Dia pada petang 12 September 2011 tu telah membawa isterinya ke Klinik Bersalin Rekha, Seremban. Bila diimbas imej bayi dalam kandungan, doktor berkata wajahnya 'sejibik' macam abahnya. Salah satu tapak tangan bayi di bawah dagu, persis orang sedang memikirkan sesuatu. Doktor berpesan kalau pagi esok tak berhenti pendarahan cepat-cepat pergi hospital.
Dan Isyak malam itu seorang bakal nenek tiba ke rumah mereka, dibawa oleh seorang bakal pakcik. Bakal nenek sangat susah hati kerana telahan bunga siti fatimah yang direndamnya telah kembang, menyatakan bahawa anak perempuannya bakal bersalin tak lama lagi.
Dalam nak ikut tak ikut kata bakal nenek yang susah hati, pergilah mereka semua ke Hospital KPJ malam tu. Doktor di wad kecemasan check lebih kurang, terus menasihatkan pergilah ke hospital besar. Kalau apa-apa berlaku kami pun akan pindahkan puan ke sana juga. Nak naik ambulan atau pergi sendiri? Kalau hantar dengan ambulan RM300.   
Maka bakal abah yang merupakan driver OKU tu menekan pedal minyak serapat yang mungkin malam tu. Bila sampai di depan wad bersalin, setelah beberapa ketika diperiksa oleh doktor, bakal umi kemudian menyatakan kepada bakal abah. Nak balik ke tak? Katanya tak ada apa2. Tapi doktor kata boleh bermalam untuk pemantauan kerana dah tengah malam. Besok pagilah balik.
Bakal abah dan bakal nenek pun baliklah ke Taman Bukit Galena. Dalam hati bakal abah sedikit gembira kerana doktor kata tak ada apa2, pagi besok atau tengah hari discaj la tu.
Jam 8.00 pagi 13 September 2011, bakal abah menghantar satu beg mengandungi pakaian untuk bakal umi pakai semasa discaj tengah hari nanti. Menurut kata sekuriti, letak beg sahaja lepas tu keluar, bakal abah tak syak apa2 pun yang berlaku bila melihat katil bakal umi kosong. Pergi bilik air la tu.
Bakal abah kemudian pergilah bersarapan pagi. Tiba-tiba bakal abah dah menjadi abah lebih awal rupanya apabila umi menelefon memberitahu dia telah pun bersalin jam 7.05 pagi tadi.
Selamat harijadi Abdul Hanan. Semoga sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah. Moga menjadi insan yang berguna.

Abdul Hanan dan abah bergambar kenangan di hadapan bendera Malaysia yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Rumah kami menang tempat ketiga Pertandingan Mengibar Jalur Gemilang peringkat KRT Taman Bukit Galena Fasa 4 Tahun 2015. Nak tengok datanglah rumah. 16 September ni last day, lepas tu semua bendera akan disimpan.

Sunday, August 30, 2015

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke 58

Den dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke 58 kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga Malaysia kekal aman, sejahtera dan merdeka.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Thursday, July 30, 2015

Siapa yang harus jadi perdana menteri?



Tentang tan sri muhyiddin yasin disingkirkan sebagai timbalan perdana menteri bukan menjadi satu isu yang ingin aku sebelahi sesiapa di blog ini. Di sini aku cuma ingin berkongsi salah satu aktiviti latihan dalam kumpulan (ldk) yang aku ikuti semasa kursus kenegaraan anjuran biro tatanegara pada penghujung bulan September 1999 di kampung gajah, perak iaitu salah satu kursus yang wajib diikuti oleh penuntut2 universiti untuk grad pada ketika itu.

Di dalam ldk tersebut (kumpulan2 kecil yang terdiri daripada 10 orang kalau tak silap), kami diberi sekeping kertas a4 kosong setiap orang. Arahan fasilitator ialah, “Kalau kamu diberikan kuasa untuk memilih dan membentuk kabinet kerajaan negara ini, agihkan di kalangan ahli-ahli kumpulan kamu ini siapa yang harus jadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kewangan, menteri pertahanan sehinggalah habis jawatan2 itu diagihkan. Kamu diberi masa 10 minit dan tidak boleh berbincang sesama ahli2 kumpulan.”

Maka kami pun ditinggalkan oleh fasilitator untuk memilih kabinet masing2. Dalam kumpulan kami ada seorang ahli lelaki Melayu (oh, tak perlu sebut kaum, memang pada masa itu semua yang pergi kursus dengan aku ni orang kita semuanya, tak ada kaum lain) pelajar kejuruteraan yang memang kami lantik dia jadi ketua kumpulan, aku tulis/assign sebagai perdana menteri (PM). Penolong ketua kumpulan kami iaitu seorang wanita pula aku tulis sebagai timbalan perdana menteri (TPM). Aku sendiri aku tulis jadi menteri pertahanan (time tu gila main red alert, sungguh naif akal budak universiti...). Ahli-ahli yang lain aku tulis sebagai menteri ikut kemahiran atau sifat apa yang aku kenal dalam masa beberapa hari tu.

Selesai 10 minit, fasilitator pun datang balik dan menyuruh kami membentang pilihan masing2. Masing2 pun bentanglah kenapa kabinet mereka dibentuk dengan sekian, sekian ahli kumpulan dilantik menjadi menteri2 tertentu dengan alasan2 masing2. Yang bestnya tu boleh dikatakan hampir semua ahli kumpulan melantik ketua kumpulan menjadi PM dan penolong ketua kumpulan menjadi TPM. Alasannya macam2, berbakatlah, prihatinlah, berpandang jauhlah, yelah dah boleh diharap.

Selesai semua pembentangan, maka fasilitator pun memulakan ulasan. Yang patut jadi PM itu ialah kamu sendiri. Kenapa kamu nak serahkan kuasa memerintah kepada orang lain? Kalau kamu serah kuasa kepada orang lain apa yang kamu boleh lakukan apabila orang yang kamu serahkan kuasa itu menindas kamu?

Aku ingat lagi penolong ketua kumpulan bangkit menjawab, “Saya lantik dia (ketua kumpulan) sebagai PM kerana saya rasa dia yang paling layak. Saya lantik diri saya sebagai menteri kewangan kerana sebagai penuntut jurusan kewangan, saya lebih mahir menjalankan tugas tersebut.”

Kemudian fasilitator menangkis balik hujah penolong ketua kumpulan dengan menyatakan bahawa bukan masalah kemahiran yang timbul di sini, yang utama sekali ialah kita mempertahankan kuasa yang diberi kepada kita selagi terdaya dan selagi kita hidup.

Dalam kes PM kita, apa yang beliau buat untuk mempertahankan jawatannya sebagai PM adalah contoh aplikasi ldk di atas. Walau apa pun isu yang timbul (beliau salah atau betul, saya tidak tahu dan tidak berani ulas) dengan jangka masa pilihan raya yang masih lagi jauh iaitu 2016 atau 2017, apa2 tindakan yang betul dan wajar bagi mempertahankan kuasa sehingga tibanya pilihanraya umum perlulah diambil atau ditangani sebaiknya.

Nak tahu siapa yang tulis diri sendiri jadi PM? Hanya ketua kumpulan kami...
 
Fasilitator tu lupa nak beritahu kami satu benda pagi tu, sebagai PM, ketua kumpulan boleh pecat kami semua daripada kabinetnya untuk digantikan dengan menteri2 baru dan bukan sebaliknya.

Monday, July 27, 2015

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Di kesempatan ini aku, mawar, hanan dan hanim ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua yang mengenali kami.
Semoga bulan syawal yang mulia ini memberikan peluang kepada kita untuk terus semangat beribadat seperti di bulan ramadhan yang lalu.
Raya selama sebulan, ambillah peluang untuk saling berkunjung sanak saudara yang masih ada, tahun depan belum tentu kita dapat berjumpa lagi.
Kurangkan minum minuman berais, sakit tekak, tonsil, demam dan macam2 komplikasi mungkin timbul.
Kurangkan makanan manis dan berlemak, bila dah sakit semua orang akan susah.


Raya kali ni kami beraya di taman indah jaya, petaling jaya dulu. Kemudian sambung raya di padang kemunting, melaka pula melawat saudara mara sebelah mawar.
Malam ahad sambung beraya di pendang pula melawat satu2nya mak saudara yang tinggal dan sepupu2 ku pula.
Raya haji belum tentu beraya di mana lagi. Tengok tahap kesihatan dan juga budget yang ada.

Friday, June 19, 2015

Gigi Hanim sudah dua



Apa khabar semua? Bagi cikgu2 dan budak2 sekolah apa yang anda telah buat sepanjang cuti dua minggu ni? Harap2 benda yang berguna. Ada yang pada mula cuti terlibat dengan perkampungan ilmu, ada juga yang terlibat dengan sukan mssm. Kalau kat center court berhampiran dengan stadium paroi ada pertandingan bola tampar mssm. Seminggu juga berkampung dari 5 jun hingga 12 jun tu.

Bagi aku pulak masa awal cuti iaitu hari sabtu mula cuti tu terlibat bawa bebudak ppki ni pi program jati diri di rantau agro park. Tak mau cerita panjang, kalau nak tau lebih lanjut boleh pi di ppkismkpz.blogspot.com . Best la jugak program tu. Ada ice breaking, alah program kenal2 nama tu, “Nama saya Azlan, nama saya masa zaman budak sekolah dulu Lan, saya lahir bulan Februari. Nama kawan sebelah saya ni dot dot, nama dia masa zaman budak sekolah dulu dot dot, dia ni lahir bulan dot dot. Nama kawan sebelah dia pula...” Begitulah program ice breaking, sejak dulu time sekolah pun memang ada sesi macam tu.

Hari isnin, selasa dan rabu pula terlibat jadi panel pembaca luar untuk salah satu buku teks keluaran tahun 2016 dewan bahasa dan pustaka. Merasa la tidur hotel. Kesian juga yang di rumah tu tinggal bertiga tetapi leceh pula bawa balik manuskrip buku teks tu ke rumah, nak baca, nak tulis report, besok pagi subuh2 lagi dah nak ke kl pula lagi. Tinggal la tiga orang kesayangan tu di rumah.


Boleh tahan gigitan gigi dua batang Hanim.


Selesai mesorat, esoknya tu kami berempat ke bandar raya melaka. Ini kali ketiga dah pi tahun ni setelah kali pertama pi bawa bebudak ppki ‘membuat lawatan kerja’ ke bandar raya melaka dan kali kedua pula mesyuarat dengan salah satu agensi kerajaan (syukur, dah lama tidak bermesyuarat di gudang petai yang dah bangkrap seperti ujar arwah mahmud june di dalam cerita masam2 manis).

Masa sampai pagi tu kami singgah di taman rama2 dulu. Nama saja taman rama2 tetapi ada banyak menatang lain juga untuk di tengok seperti buaya, burung unta dan ular. Aku pakai kad oku aku, dapat la diskaun sikit untuk tiket. Hanan bukan main suka lagi dapat bagi makan kat ikan koi tu, alah macam satu gambar yang dato najib kita gembira bagi makan ikan koi tu. Lebih kurang sama la kegembiraannya, Cuma aku tak tau Hanan tu masa depannya jadi PM Malaysia ka tidak. Takdir Allah kita tak tahu. Macam kata Master Yoda, “The future is hard to see. Always changing.”


Ini gambar rama-rama kat rumah.

  
Hotel pilihan untuk menginap kali ini ialah Hotel Swiss Garden. Setakat ini ia adalah bangunan tertinggi di bandar raya melaka tu. Nak minta diskaun pakai kad vle frog smk seremban jaya 2 memang tak laku, pakai kad oku nak minta diskaun pun tak laku, bayar la rm300 lebih sekali dengan breakfast. Bilik hotel kira memang padan la dengan harga yang dibayar. Ada pelbagai kemudahan standard yang kita jangkakan dengan bayaran sedemikian tapi tak boleh lawan la hotel grand lexis port dickson hari tu yang aku bayar rm700 lebih.

Hotel swiss garden ni yang bestnya di tingkat 9 tu ada kolam mandi yang sesuai untuk kanak2. Ada gelongsor air, meriam air, jakuzi dan sesapa yang nak ke jimnasium, ada jimnasium di tengah2 kolam. Hanan macam biasa mula2 takut dengan air terjun yang ada di kolam tu tetapi bila dah lama nak ajak naik bilik pun tak mau. Hanim yang bergigi dua batang tu bukan main suka lagi tengok abangnya main air.

Hotel ni juga ada beberapa tingkat di bawahnya kalau tak salah tingkat dua, satu dan ground floor adalah merupakan shopping compleks. Tingkat dua ada medan makan gerai2 makanan cina. Tingkat satu ada akuarium ikan (kena bayar tapi ada diskaun tiket untuk oku) dan tingkat bawah sekali ada Tangs, nandos, korea steamboat dan beberapa kedai lagi la.

Parking hotel ni free, iaitu di dalam bangunan maka tak perlu risau kena hujan. Bagi kereta aku yang ada emblem kurniaan Sultan Kedah (lambang oku) ada parking khas di depan lobi hotel siap ada guard lagi keh, keh, keh! “Barangkali kamu tidak suka akan sesuatu tetapi ia baik untuk kamu.” Syukur mudah dapat parking walaupun oku.   

Waktu malam pula di depan lobi hotel ada pertunjukkan air pancut berwarna-warni diiringi muzik. Banyak kereta yang berhenti dan ambik gambar kat situ. Berdekatan dengan hotel ini juga ialah sungai melaka. Ada tempat pejalan kaki khas di tepi sungai dan kita boleh lihat bot2 river cruise yang membelah sungai ini. Ada juga mini fun fair tepi sungai tu tetapi memandangkan hanan dah mengantuk dan hanim dah lama tidur dalam dukungan aku maka jalan2 malam tu sekejap saja.

Breakfast pagi esoknya ialah di garden terrace. Memang mewah la makanan dan padan dengan bayaran rm50 untuk seorang dewasa tu. Nak masuk makan sampai kena beratur la kerana nak pastikan semua tetamu dapat tempat duduk.

Selesai breakfast, aku bawa hanan pi mandi kolam lagi di tingkat 9 hotel. Bila dah checkout waktu tengah hari, kami berempat pi tengok ikan pulak di akuarium di tingkat satu tu. Kalau nak banding dengan akuaria di klcc tu memang apa yang boleh dilihat di sini adalah sedikit tetapi ada aktiviti tambahan iaitu mengumpul cop2 dari satu stesen ke stesen yang lain. Dapat la dua key chain tengah hari tu.

Apa lagi be, datang le ke melaka.

Saturday, April 18, 2015

La Tahzan (Jangan Bersedih)

Semenjak pelaksanaan cukai barangan pengguna atau gst, aku tengok macam2 komen di merata-rata tak kira di media sosial, di whatsapp, telegram yang komen macam2. Ada yang berbentuk pencerahan minda seperti maklumat bagaimana gst itu dilaksanakan, ada yang berbentuk gurauan sinis tetapi ada juga yang buat tak peduli.
Salah satu gurauan sinis yang aku lihat ialah di salah satu web alternatif yang memaparkan lakaran kartunis Zunar yang mewakilkan g sebagai golf, s sebagai shopping dan t sebagai travel. Pada lakaran itu dilukis watak dua VIP negara. Zunar yang merupakan salah seorang kartunis majalah Gila-Gila pada suatu ketika dahulu khabarnya telah didakwa di mahkamah atas kritikan-kritikan pedas yang dilakarnya.
Kemudian ada pula yang membuat cerita sinis berkenaan kurang bijaknya seorang VIP berkata berkaitan bagaimana untuk penuntut-penuntut universiti yang ingin mengelak gst perlu masak sendiri. Cerita berkenaan ialah tentang Superman, Sleeping Beauty dan Pak Pandir yang jalan berkembara di mana dalam perjalanan tersebut Superman telah menang pertandingan siapa paling kuat, Sleeping Beauty menang pertandingan siapa wanita paling cantik tetapi Pak Pandir pula bernasib malang kerana kalah dalam pertandingan siapa paling bodoh. Pak Pandir tidak menyangka ada orang yang lebih bodoh daripadanya, mengikut cerita tersebutlah.
Secara peribadi, sepanjang aku menginap di asrama mrsm, desasiswa dan asrama maktab dulu, yang boleh aku masak hanyalah mee segera yang direndam dalam air panas yang airnya dimasak dengan kettle asrama. Nak bawa kettle sendiri takut kena rampas pula. Kalau kettle asrama rosak tak payah cakap banyak la. Makan la biskut2 yang ada tu, kalau ada.
Ada sekali tu, beberapa senior mrsm aku kena buang maktab kerana pecah masuk stor. Katanya nak cari kettle dalam stor tu. Kesiankan budak2 cerdik harapan masa depan negara kena buang maktab hanya kerana sedikit kebodohan. Kalau betul kerana cari kettle memang kesian.
Tinggal di asrama mrsm aku boleh tapau nasi kantin dalam tupperware untuk makan kalau lapar malam2. Pukui 10 malam balik prep memang lapar, minum malam ada biskut saja, mee segera merbahaya weh. Tapi kalau yang tinggal di asrama di universiti mungkin boleh beli dapur gas aerosol untuk masak di dalam bilik kot?
Boleh buat kenduri tu. Bilik hang Piah masak nasi, bilik aku goreng ayam (ikan lagi mahal dari ayam sekarang ni), bilik hang pulak Bedah masak kangkung goreng (harga kangkung tak tau la dah mahal atau lebih murah lepas gst ni). Harap2 tak terbakar macam salah satu desasiswa di usm pada suatu ketika dulu. Khabarnya pasai masak sendiri juga la tu.
Salah satu pengalaman ngeri menggunakan kettle asrama u ni ialah aku pernah jumpa dua ekor ikan jaket (cencaru) dalam kettle di bilik pantri tu. Agaknya nak makan ikan rebus la tu. Tapi malangnya kettle tu rosak, tinggallah ikan tu mereput dalam tu. Jahanam sungguhkan?
Bab masak sendiri untuk penuntut universiti, aku pernah masak sendiri semasa menuntut di u dulu tapi di rumah sewa la. Dengan periuk nasi tu aku masak nasi, kentang, bubur dan rebus telur. Janji makan. Untuk penuntut-penuntut u jangan bersedih terkesan dengan gst, ia membuatkan kita lebih fokus untuk belajar, kurang menghabiskan duit untuk membeli reload telefon, cari wifi free, kurang mengisi minyak petrol untuk keluar berjalan-jalan, menggunakan bas dalam kampus (dulu dalam usm aku naik bas dalam kampus tu saja, maklumlah oku), branch (makan breakfast sekali dengan lunch), membeli apa yang perlu sahaja.
Tentang cerita sinis tu khabarnya ada satu versi lagi tetapi yang berkembara bersama tu bukan Pak Pandir tetapi Pinokio. Tentang Superman dan Sleeping Beauty tu sama tetapi Pinokio pula kalah dalam pertandingan siapa paling kuat bohongnya kepada seorang VIP negara kita. Begitulah khabarnya lawak di kedai-kedai kopi.
Jangan bersedih. La tahzan, Allah bersama kita. Anggaplah apa yang berlaku ujian Allah untuk kita semua, Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Allah ingin memberi pahala kepada kita. Allah merindukan kita untuk kita sujud dan mengadu kesusahan kita kepadaNya.
Bersabarlah semua.

Monday, April 6, 2015

Honda PCX 150 bagiku setakat ni

Seperti yang dijanjikan di dalam post yang lalu, maka pada kali ini aku akan review sedikit skuter yang baru aku beli awal bulan yang lalu. Oleh sebab ini kali pertama buat review, maka maafkanlah kekurangan dan apa yang aku buat ni bukan nak menunjuk tetapi aku dapati boleh kata tak ada review tentang skuter ni oleh pengguna Malaysia, macam satu tokei kedai tu cakap, "Aiya Honda PCX you ada tengok ka atas highway? Apa skuter nampak banyak atas highway? S** banyak. Beli S** la."
Yang guna skuter S** jangan marah, saya tak berniat untuk bergaduh dengan anda, cuma nak beli skuter yang jenama lain mengikut kemampuan saya.

Menghidupkan skuter.
Langkah untuk menghidupkan skuter ni kena ada disiplin sikit. Mula2 dapat skuter ni haram tak diajarnya oleh tokey kedai tu. Nasib baik ada mekanik kat situ yang tunjukkan setelah 15 minit terkial-kial nak hidupkan skuter.
1. Pagi2 nak pi sekolah buka kunci-kunci keselamatan kat skuter dulu.
2. De activate alarm. Ya, skuter ni ada alarm macam kereta tu.
3. Buka selak penutup lubang kunci dengan bahagian belakang kunci.
4. Masuk kunci kat lubang kunci dan pusing ke bahagian untuk pilihan buka seat atau fuel.
5. Tekan pembuka seat, naikkan untuk simpan bekal air, kunci2 keselamatan, ambik glove.
6. Tutup seat, pakai helmet, sarung tangan (Bell).
7. Angkat stand tepi, kalau tak angkat tobat sampai bila2 tak boleh start.
8. Pusing kunci ke on/start, lampu depan akan menyala.
9. Tarik brek belakang/kiri sampai habih dan tekan start button di sebelah kanan. Brek belakang tu kalau tak tarik habih pun tobat sampai bila2 tak boleh start.
Skuter ni tak ada kick starter, habih bateri nanti jawabnya kena tukar bateri la baru boleh start.  

Kunci telah dipasang.

Boleh pilih sama ada nak idling atau idling stop. Kalau idling stop, masa berenti kat trafik light apabila suhu melebihi suhu tertentu enjin akan mati. Pulas minyak, enjin akan hidup semula. Jimat minyak tapi bateri pulak akan cepat king kong. Mana pilihan anda? Kerap tukar bateri atau isi minyak?
Kat bawah tu ada suis lampu hazard, bila parking pagi2 berhenti beli nasi lemak kat gerai tepi jalan, hidupkan suis hazard, matikan enjin, cabut suis, lampu hazard tetap menyala.

Ada suis lampu tinggi rendah, hon, signal kiri kanan yang bila ditekan akan matikan kelipan signal.
 
Ni beli basikal ka beli skuter? Bar handle ni la yang digelakkan oleh orang rumah aku.

Ada port charger (tak test lagi pun) dan tempat simpan barang. Boleh simpan kunci rumah, spek.

Boleh isi minyak 8 liter. Tapi habih banyak isi pun RM10 saja.

Memang muat satu helmet kat ruang kiri tu. Baby tiga bulan pun boleh rasanya.

Tempat isi minyak hitam.

Ada tempat isi coolant.

Sekali tengok macam superbike.

Pandangan belakang. Kalau Honda pasang ekzos chrome mungkin lebih cantik.

Enhanced Smart Power. Tak da laju mana pun, pagi2 LC potong selamba saja.

Alarm.

Kunci tambahan ada empat. Meneruskan tradisi keselamatan semasa pakai Honda Wave 125.

Setakat tulis blog ni hari ni, meter belum 500 km lagi pun. Servis pertama 1000 km kemudian setiap 5000 km. Kerana belum habih run in 1000 km, tak tau la laju mana boleh pi. Tapi tengok kat youtube sampai 120 km/j. Boleh la tu, nak laju lagi naik super bike la.