Wednesday, July 14, 2010

Ibu bapa jadi hamba anak

Semalam masa tengok berita ni kat TV3 aku ingat aku tersalah dengaq. Selalunya yang menuntut nafkah ialah bekas isteri kepada bekas suaminya.
Kes-kes yang melibatkan tuntutan nafkah bekas isteri pun mengambil masa yang lama untuk diselesaikan sehingga waran tangkap perlu dikeluarkan, agak2 orang yang macam ni bila la nak selesaikan? Aku pun heran kenapa si bapa budak2 tu tuntut hak jagaan tetapi bagi kat datuk pulak untuk jaga.
Kesian, dah la banyak keluaq belanja nak menyekolahkan anaknya hingga boleh kerja bergaji besar tak leh merasa sikit kesenangan pun. Dari air muka pesara aku boleh nampak betapa malunya dia nak berhadapan dengan media. Mungkin ada yang berkata takkan dengan anak pun nak berkira tapi hanya yang menanggung beban yang tahu. Budak sekarang sekolah belanja banyak, baju sekolah,kasut sekolah, baju uniform, baju sukan, kasut sukan, beli reket badmintin, makan, buku pelajaran, tuisyen, pegi CC buat research (adik aku yang sekolah rendah tu cikgu dia suruh pi CC cari nama saintifik pokok2, ada dalam sukatan ka?), buat folio, camping, macam2 sampai tak menang tangan.

Bapa tuntut anak bayar nafkah

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 13 Julai – Sejak tujuh tahun lalu, seorang pesara swasta memelihara dua orang cucu yang ditinggalkan oleh anak lelakinya setelah bercerai dengan ibu kanak-kanak tersebut.

Dengan kudrat yang tidak seberapa, warga emas itu bersama isterinya membesarkan cucu-cucunya itu tanpa bantuan nafkah daripada bapa kanak-kanak tersebut.

Walhal anak pesara itu merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di ibu negara dengan pendapatan RM17,000 sebulan.

Tidak tahan dengan sikap 'lepas tangan' anaknya itu, Mustafa Ismail, 64, telah mengemukakan tuntutan supaya Nasrun, 37, membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya itu selama tempoh tersebut sebanyak RM20,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Mustafa dari Kampung Beladau Kolam, Manir turut menuntut perintah agar Nasrun memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan dua cucunya yang kini berusia 13 tahun (perempuan) dan 15 tahun (lelaki).

Selain itu, beliau sebagai plaintif menuntut anak lelakinya itu memohon maaf kepadanya dan hadir ke mahkamah tersebut bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Mustafa yang diwakili peguam syarie, Fazru Anuar Yusof mengemukakan tuntutan berkenaan ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail hari ini.

Pada prosiding tersebut, Mustafa yang kelihatan sebak, membaca wakalah pelantikan peguam syarie dengan nada tersekat-sekat sebelum meminta Fazru Anuar membacakan tuntutantuntutan berkenaan.

Nasrun yang dinamakan sebagai defendan dalam permohonan itu tidak hadir di mahkamah hari ini.

Kamarulazmi kemudian menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula permohonan tersebut yang dibuat mengikut Enakmen Undang-undang Pentadbiran Islam Negeri Terengganu 1985.

Hakim tersebut menyifatkan kes itu cukup mengaibkan dalam institusi keluarga Islam dan tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan antara bapa dengan anak kandungnya sendiri.

Malah jelasnya, kes itu merupakan kes kedua yang pernah menggemparkan negara berkaitan tuntutan nafkah yang dikemukakan ibu bapa terhadap anak kandungnya selepas kes membabitkan seorang pensyarah di Seremban kira-kira tiga tahun lalu.

Justeru itu, beliau berharap kes berkenaan dapat diselesaikan di luar mahkamah dengan kedua-dua belah pihak memberi pertimbangan wajar ke arah penyelesaian demi kebaikan bersama.

Sementara itu, Fazru Anuar sewaktu ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, plaintif terpaksa menanggung dua cucunya itu sejak tujuh tahun lalu tanpa bantuan nafkah daripada Nasrun.

''Malah selama tempoh itu, Nasrun yang merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dan berpendapatan RM17,000 sebulan tidak pernah menjenguk dua anaknya itu yang dijaga plaintif bersama isteri (ibu Nasrun),'' katanya.

Menurut beliau, plaintif mendapat hak penjagaan ke atas kedua-dua cucunya itu pada 2004 daripada bekas menantunya setelah pasangan tersebut bercerai pada 30 Disember 1998.

Nasrun dan bekas isterinya masing-masing telah berkahwin lain.

Ditanya sama ada pihak plaintif akan akur dengan nasihat hakim untuk menyelesaikan konflik keluarga itu di luar mahkamah, beliau berkata:

''Anak guam saya bersifat terbuka dan akan pasti mengubah pendirian jika defendan pulang menjenguknya dan isteri serta dua anaknya itu serta memohon maaf akan keterlanjuran,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment