Friday, December 18, 2015

3 Hari 2 Malam Di Johor Bahru Bahagian 1

Cuti sekolah kali ini lain macam sikit, tak seperti cuti sekolah yang sebelumnya, kali ini orang sanggup menghabiskan wang ringgit untuk berjalan-jalan bagi membalas dendam terperap di dalam rumah semasa bencana jerebu yang lalu. Tauke-tauke hotel dan taman tema tersenyum kerana bilik-bilik penginapan penuh sepanjang bulan dan permainan-permainan bergerak tak henti-henti. Ada tauke hotel dan taman tema yang mengambil peluang menaikkan harga kononnya musim cuti dan juga kerana kejatuhan nilai ringgit. Aku nyaris jatuh terduduk mendengar kenaikkan harga di reception sebuah hotel ikonik dan kaunter tiket taman tema permainan di Nusa Jaya. :(

Kita biarkan tauke-tauke seronok menghitung laba yang dikutip. Apa yang aku nak ceritakan di sini ialah pengalaman membawa keluargaku yang seramai empat orang ni berjalan-jalan di Johor Bahru baru-baru ini, awal Disember setelah tamatnya Mawar menjaga SPM tahun ini. Mmm, planningnya ialah:
Hari pertama: Bertolak pagi. Masuk Zoo Johor. Menginap Hotel Sentral.
Hari kedua: Menginap Hotel Lego Land.
Hari ketiga: Check out hotel tengah hari. Pergi Little Big Club dan Sanrio Hello Kitty. Menginap Hotel Sentral
Hari keempat: Check out hotel. Pergi Angry Bird Theme Park. Balik Seremban.

Kita merancang tetapi Allah juga yang menentukan. Hari pertama perjalanan kami pun sampailah ke Zoo Johor. Best zoo ni. Parking kereta kat luar zoo tu free saja. Tiket masuk dewasa cuma RM2 dan kanak-kanak RM1.






Dalam gambar di atas, Hanan sedang makan di salah sebuah gerai makan yang ada di dalam Zoo Johor. Makanan yang best di sini ialah rojak buahnya. Harga makanan adalah berpatutan.





Zoo ni aku tengok koleksi haiwannya ada banyak juga. Janganlah mengharapkan yang bukan-bukan seperti penguin atau panda dengan bayaran RM2 sekali masuk. Yang bestnya zoo ni ada kolam yang mana kita boleh naik bot kayuh. RM5 kot kalau tak salah untuk 15 minit. Hanan tak melepaskan peluang untuk naik bot tu. Mana boleh tak naik, dari masuk zoo lagi dah tarik tangan aku ke arah bot tersebut. Maka naik la kami berdua. Hanim dan Mawar tunggu kat tepi.





Hanan nak kayuh kaki tak sampai, abah la yang penat kayuh bot. Kalau tengok betul2 dalam gambar di atas boleh nampak Hanim dan Mawar duduk kat bawah pondok tu.





Hanan dalam gambar di atas bergambar dengan burung kakak tua.Sebut tentang bergambar, di pintu masuk zoo ini ada perkhidmatan jurugambar profesional yang akan merakam gambar anda apabila mula-mula masuk ke dalam zoo. Kerana harganya amat berpatutan (mungkin hari biasa, klien tak ramai, tak boleh la letak harga yang bukan2) maka kami beli saja gambarnya pada hari itu.

Hanan selesai main bot, hujan pun turun dengan lebat. Petang itu patutnya nak round zoo dengan lebih lama lagi tetapi apa yang berlaku ialah Hanan main hujan dalam zoo tu sambil abah, umi dan Hanim berteduh bawah wakaf. Orang-orang Johor dan pengunjung zoo menjadi saksi melihat betapa gembiranya seorang budak lelaki berusia empat tahun mandi hujan dengan girangnya. Mana la mak bapaknya biar anak main hujan. He he he!

Memandangkan masa masih panjang kerana nak pusing-pusing zoo pun dah tak boleh kerana hujan yang turun lebat maka kami pun keluar daripada zoo. Apa kata kita drive ke Nusa Jaya, tengok tempat nak main nanti iaitu Little Big Club dan juga Hotel Lego Land.

Oh ya, sebelum cerita lebih panjang lagi, nak bagi kredit sikit kepada Waze. Kali ni semua destinasi disimpan siap-siap dalam Waze di bahagian Favourites. Alhamdulillah, walaupun kadang-kala menda ni jadi mengong kerana tiada isyarat satelit kerana hujan, dia tetap berjaya guide kami ke destinasi yang dituju walaupun tiba-tiba lalu di belakang lorong rumah kedai dan tempat yang sunyi. Sekurang-kurangnya tak ada la dia suruh kami masuk ke jalan trafik bertentangan seperti Lookato beberapa tahun dulu.

Bila sampai di depan bangunan berwarna merah Sanrio Hello Kitty dan Little Big Club, hati berkata ooo ini la tempatnya yang PPKI SMKPZ nak pi hari tu tapi tak jadi kerana jerebu. Sekeliling kawasan nampak eksklusif. Tak ada kelihatan warung-warung kecil di tepi-tepi bangunan-bangunan besarnya seperti di Kuala Lumpur. Memang kawasan pembangunan terancang sementelah lagi pusat pentadbiran kerajaannya turut ditempatkan di sini.

Dalam pada itu kami mencuba nasib kot-kot ada bilik kosong di kedua-dua hotel yang ada bersebelahan dengan Sanrio Hello Kitty dan Little Big Club pada petang hari Selasa tu. Tau apa jawapannya. Semua bilik habis puan. Selain faktor cuti sekolah, kemungkinan bilik habis dihuni oleh operator-operator Karnival Iskandar yang bakal berlangsung di lokasi berhampiran. Melepas...

Dari situ kami dipandu Waze ke Hotel Lego. Ooo ini rupanya hotel yang gah diiklankan dalam tv dan menjadi idaman Hanan untuk dilawati. Kalau ikut perancangan awal, hotel ni hanya akan kami check in pada hari kedua, tapi saja cuba nasib nak tengok bilik apa yang ada. Ruang lobi hotel memang penuh dengan guest. Budak-budak yang main lego di kolam-kolam lego toksah cerita la, memang meriah. Tu yang sampai ada guest curi bawa balik patung-patung lego nak buat kenangan.

"Bilik yang tinggal cuma yang RM1300 lebih saja encik untuk hari ini. Mulai esok, bilik semua penuh sampai hujung bulan 12," merupakan jawapan receptionist. Tu dia aih, habih semua bilik. Kalau ikut kemampuan memang boleh saja bayar RM1300 tu dan check in petang tu tapi rasa rugi pula kerana melihatkan jam sudah 5.00 petang maka sudah rugi 3 jam tempoh penginapan. 3 jam nilainya amat besar kerana di situ ada masa yang sepatutnya Hanan mandi-manda di kolam renang hotel dan juga bermain di kolam-kolam lego kat lobi hotel tu.

Konsep aku, kalau bermalam di hotel mahal ialah kita guna kemudahannya sepenuhnya dari seawal-awal check in sampai la ke hujung check outnya seperti kami buat di Grand Lexis dulu. Sorilah Hanan, tahun depan kita cuba masuk tepat2 waktu check in. Bilik dah abih pun untuk kali ini. :( 

Dengan rasa sedikit kekecewaan, Waze kemudian memandu kami ke Hotel Sentral JB. Dengan bayaran sewa RM150 satu malam siap dengan breakfast buffet, aku dapati hotel ini adalah yang terbaik setakat ini di JB. Ada kolam kecil di tingkat dua untuk mandi-manda.

No comments:

Post a Comment