Wednesday, May 25, 2011

Kepentingan menyimpan bil-bil yang telah dijelaskan

Aku selalunya menyimpan bil-bil yang telah aku jelaskan kerana aku pernah menerima double billing. Benda tu berlaku masa aku tinggal di setapak dulu di mana bil yang telah dijelaskan 6 bulan yang dahulu tiba2 dibilkan semula pada bil semasa sebagai bil bayaran yang tertunggak dan perlu dijelaskan dengan kadar yang segera. Nasib baik simpan bil lama2 tu elok2 di suatu tempat yang mudah dicari dan apabila dibawa berhujah ke agensi berkenaan memang tak boleh diaorang nak pekonon (tipu) kita. Memang haram j**** macam kata watak sekuriti guard dalam cerita laksamana do re mi kerana sebelum memadam kesilapan data dalam komputernya, kita terpaksa naik pulak tangga 3 4 tingkat untuk menyelesaikan masalah bil tersebut.

Baru saja aku nak berasa senang hati kerana boleh menjelaskan bil secara online sejak beberapa hari yang lalu tiba2 hari ni aku terpaksa fikir semula sama ada untuk membayar bil secara tradisi beratur di pejabat pos melalui pandu lalu semula. Aku ingat nak terminate akaun yang telah aku buat setelah kejadian yang sama berulang lagi pada hari ini.

Berikut ialah e-mel amukan aku kepada syarikat korporat berkenaan. Walaupun anda boleh meneka nama syarikat berkenaan, aku padamkan saja namanya. Aku paparkan di sini untuk pengajaran syarikat berkenaan supaya menjaga database dengan baik. Kalau syarikat anda nak tau (bukan nak bangga diri), aku grad science computer major in database dan sesungguhnya database anda tu dah corrupted. Keuntungan yang berjuta tu patut anda invest untuk hardware dan software yang baru.

Salam sejahtera.

Sebagai sebuah syarikat korporat yang mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun dengan sebahagian besarnya penayangan semula gambar-gambar yang sama (dan lama) berulang kali dan juga keuntungan round off government service tax sebanyak 2 sen bagi setiap pelanggan, saya tidak menyangka pihak ***** turut cuba mendapatkan keuntungan dengan menghantar lagi bil untuk bayaran langganan yang telah dijelaskan pada bulan sebelumnya.

Setelah membayar bil langganan ***** untuk tempoh 13/05/2011 hingga 12/06/2011 pada 21/05/2011, saya amat terkejut menerima bil langganan ***** untuk tempoh 13/03/2011 hingga 12/04/2011 pada hari ini (25/05/2011) di dalam peti surat saya. Ura-ura kenaikkan harga minyak dan lain-lain harga barang yang akan turut naik pada minggu hadapan telah menyebabkan saya naik darah dan menulis kepada anda melalui e-mel ini.

Di sini saya lampirkan salinan bil dengan nama:
a) bilsatu yang menunjukkan bil langganan ***** untuk tempoh 13/03/2011 hingga 12/04/2011 yang saya terima hari ini (25/05/2011).
b) bildua yang menunjukkan bil langganan ***** untuk tempoh 13/03/2011 hingga 12/04/2011 yang telah saya jelaskan pada 31/03/2011.
c) biltiga yang menunjukkan bil langganan ***** untuk tempoh 13/04/2011 hingga 12/05/2011 yang menunjukkan rekod saya telah menjelaskan bil langganan ***** untuk tempoh 13/03/2011 hingga 12/04/2011 pada 31/03/2011.

Saya memberi tempoh 7 hari kepada anda untuk menyelesaikan masalah ini dan serta mengirimkan surat memohon maaf kepada saya atau saya akan adukan masalah ini kepada pihak berkuasa atas tuduhan cuba untuk menipu pelanggan.

Sekian untuk tindakan pihak anda.

(Rasidah binti Mohd Ali)

No comments:

Post a Comment